IPOH: Keputusan mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, yang hilang di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu sama ada diteruskan atau ditamatkan akan diketahui esok.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata keputusan itu akan dibuat dalam mesyuarat penyelarasan operasi SAR di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.
Menurutnya, mesyuarat dijangka bermula jam 2 petang yang dipengerusikan Pegawai Daerah Batang Padang.
“Mesyuarat tersebut dijangka akan membincangkan status semasa dan perkembangan operasi mencari dan menyelamat yang telah dilaksanakan serta tindakan susulan setelah 10 hari operasi SAR ini beroperasi,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media menerima jemputan untuk menghadiri sidang media berkaitan SAR Gunung Batu Putih, di Dewan Sri Tapah, IPD Tapah pada jam 3 petang esok.
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, Ahad lalu.





