Pendaki hilang: Khidmat Orang Asli daripada komuniti setempat dijangka mula esok

Berita Perak

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak 24 Mei, dijangka menggunakan khidmat Orang Asli daripada komuniti setempat bermula esok.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata lebih 22 penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Ampang Woh, akan dipecahkan kepada kumpulan kecil dengan memfokuskan kawasan di luar trek laluan utama di antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.

“Esok insya-Allah, kita akan dibantu oleh pasukan daripada Orang Asli, penduduk KOA Ampang Woh yang mana tadi Tok Batin pun dah datang berbincang dengan kita.

“Cuma dia (Tok Batin terbabit) minta supaya beri masa untuk mengumpulkan lebih ramai anak buahnya untuk sama-sama membuat pencarian,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) operasi mencari dan menyelamat (Ops SAR) Gunung Batu Putih JBPM di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, dekat sini hari ini.

Sayani menjelaskan SAR sebenarnya telah pun melibatkan golongan Orang Asli sejak awal operasi, menerusi keanggotaan unit khas Senoi Praaq daripada PGA Bidor serta pasukan lapangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang memasang kamera pengawasan.

Sayani berkata radius pencarian kini diperincikan serta dikecilkan di kawasan tumpuan khusus tersebut, memandangkan operasi telah memasuki hari kelapan, manakala tempoh kehilangan mangsa mencecah hari kesembilan, memberi gambaran keadaan fizikal wanita berkenaan semakin lemah.

Beliau berkata pasukan keselamatan sebelum ini telah selesai melakukan kaedah penggeledahan penuh di sepanjang laluan trek utama sejauh 35 kilometer, namun kini berdepan cabaran risiko baharu susulan penemuan kesan najis serta lintasan harimau kumbang, yang dikesan melalui kamera pengawasan Perhilitan.

“Jadi hari ini kita libatkan terus, turun bersama-sama dengan PGA (menerusi laluan udara) dengan harapan akan saling membantu sekiranya terdapat ancaman daripada haiwan liar itu,” katanya.

Sayani turut memuji kecekalan dipamerkan seluruh anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhutanan dan malim gunung, yang kekal bersemangat meneruskan misi pencarian ada di antara mereka mengalami kecederaan ringan.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada, 24 Mei (7.30 pagi). – BERNAMA