Lebih 240 buah rumah terjejas kejadian ribut di Bercham

Berita Perak

IPOH: Sekurang-kurangnya 240 buah rumah terjejas ekoran kejadian ribut yang disertai hujan lebat yang melanda kawasan Bercham, di sini, petang ini.

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.20 petang.

“Berlaku hujan lebat berseterusan beserta angin kencang selama kira-kira sejam setengah yang menyebabkan ribut kawasan Anjung Bercham,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, berdasarkan laporan, setakat ini Dataran Tasek Timur 6 mencatatkan bilangan rumah paling banyak terjejas iaitu (177), diikuti oleh Hala Tasek Timur 1 dan Lorong Bercham 19, masing-masing 22 buah rumah, Hala Tasek Timur 34 (10), Hala Tasek Timur 15 (5) dan Lintasan Tasek Timur (2).

Menurutnya, selain bumbung rumah diterbangkan, terdapat juga banyak tiang elektrik dan pokok tumbang di kawasan perumahan dan jalan raya.

Katanya, cuaca masih hujan dan Pusat Pemindahan Sementara Dewan Datuk Sam dalam keadaan siap siaga untuk dibuka sekiranya ada keperluan.

Dalam masa sama, ujarnya, Pegawai Daerah Kinta yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah mengarahkan agensi berkaitan bersiap sedia sekiranya ada keperluan pembukaan PPS.

“Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memutuskan Bekalan elektrik di lokasi kejadian buat sementara waktu,” tambahnya.

Menurut jurucakap itu lagi, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang membuat kerja-kerja pembersihan dengan kerjasama anggota APM.