Kemelut selesai, Perak FC, MSN kerjasama bentuk pasukan bola sepak SUKMA XXI

Berita Perak

IPOH: Kemelut pembentukan pasukan bola sepak Perak untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA XXI) Sarawak selesai apabila Perak FC menyatakan komitmen untuk membantu Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, persetujuan itu di capai dalam mesyuarat beliau bersama-sama Perak FC dan MSN Perak, dua minggu lalu.

Menurutnya, dalam mesyuarat itu, Perak FC telah menyatakan komitmen untuk bersama-sama dengan MSN dalam penyediaan pasukan bola sepak Perak.

“Tak timbul lagi cakap-cakap kata Perak FC takkan hantar, takkan bantu.

“Perkara itu, dah kita putuskan dalam perjumpaan tersebut dan sememangnya Perak FC akan bersama dan bantu MSN dalam penyediaan pasukan bola sepak,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 Hari SUKMA Sarawak di Galasa Caldwell, di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Khairudin berkata, dengan penyelesaian itu, pihaknya berharap agar bola sepak juga boleh jadi juara dalam SUKMA di Sarawak kerana Perak pernah menang tiga kali berturut-turut dalam temasya dwi tahunan itu.

“Dengan adanya komitmen dan kesungguhan Perak FC bersama-sama MSN, saya cukup yakin kita mampu menjadi pasukan hebat dalam acara bola sepak,” ujarnya.

Menurutnya, kebanyakan pemain itu adalah dari Perak FC kerana mereka adalah pemain bawah umur yang dipilih dan dibentuk kelab tersebut melalui pelbagai kejohanan tempatan.

Sebelum ini, media melaporkan Perak FC mungkin tidak dapat menyediakan pasukan bola sepak SUKMA XXI kerana kekangan peruntukan yang diberikan kerajaan.

Khairudin dalam reaksinya selepas itu menegaskan MSN Perak akan tetap menyediakan pasukan sekiranya Perak FC masih enggan berbuat demikian.