TAPAH: Seorang wanita warga emas rentung manakala tiga orang, termasuk dua kanak-kanak lelaki melecur dalam kebakaran kereta di Jalan Bidor Lams, dekat sini, pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.49 pagi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang musnah terbakar 98 peratus.
“Seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang belakang rentung dan seorang lagi wanita serta dua kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia 8 dan 5 tahun cedera melecur,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, anggota bomba
mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) dan membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya.
Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah dengan ambulan Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.
Sayani berkata, setakat ini identiti serta hubungan mangsa belum dikenal pasti kerana dokumen pengenalan diri turut musnah terbakar.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkafli Hamad tamat jam 6.30 pagi.