Beli barangan RM20, baru layak beli minyak masak peket bersubsidi

Berita Perak

SERI ISKANDAR: Berbelanja barangan lain bernilai RM20, baru layak beli minyak masak peket bersubsidi.

Itu syarat yang dikenakan oleh pemilik sebuah pasar raya di sini, yang enggan menjual barang kawalan tersebut kepada pengguna.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, susulan itu satu operasi dijalankan di pasar raya itu dengan penyamaran penguat kuasa serta uji beli.

“Pada Rabu sekitar 12.12 tengah hari, sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung menjalankan Ops Samar.

“Ia merupakan hasil aduan orang awam yang mengadu peniaga mengenakan syarat untuk membeli minyak masak paket 1 kilogram (kg) bersubsidi di premis itu.

“Penguat kuasa melakukan dua kali uji beli, kali pertama pekerja premis memaklumkan bekalan minyak masak tiada di premis.

“Uji beli kedua dilakukan dengan membuat pembelian barangan lain bernilai RM15 dan mendapati pekerja premis membenarkan pembelian satu peket minyak masak.

“Setelah itu, apabila penguat kuasa yang menyamar mahu membeli dua peket lagi, pekerjanya memberitahu perlu membeli barangan lain dengan nilai lebih RM20,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Justeru itu, sepasukan penguat puasa beruniform telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis tersebut dan menemui 32 peket minyak masak 1 kg bersubsidi.

Jelasnya, ia disimpan di dalam stor premis berkenaan.

“Pekerja premis ketika disoal siasat berkata dia hanya mengikut arahan pemilik pasar raya dengan mengenakan syarat kepada pembeli dan membuat pembelian barangan lain jika mahu membeli minyak masak peket.

“Katanya ia supaya boleh memberi keuntungan kepada pasar raya memandangkan minyak masak paket 1 kg merupakan barangan keperluan semasa,” katanya.

Kamalludin berkata, satu arahan pengisytiharaan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada premis berkenaan.

Selain itu, siasatan lanjut mendapati premis memiliki lesen runcit barang kawalan (CSA) gula,minyak masak dan tepung yang masih sah.

“Sebanyak 32 kg minyak masak peket 1 kg yang ditemui telah disita untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya lagi.