IPOH: Seramai 30 orang peserta kursus refleksologi dan urutan lelaki dan wanita yang terpilih bagi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) 2024 telah menerima set peralatan perniagaan baru-baru ini, di sini.
Menurut Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Rohizan Omar, para peserta menerima dana dalam bentuk tajaan kursus, peralatan dan elaun bulanan selama enam bulan.
“Kursus ini dijalankan oleh Humaira Training Centre, Ipoh bermula Julai 2024 dan akan dilaksana selama enam bulan, yang merangkumi kursus berfasa, pembekalan peralatan dan pemantauan.
“Dana keseluruhan yang diperuntuk untuk kursus refleksologi dan urutan ini berjumlah RM295,000,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Peralatan Bantuan Perniagaan dan Pelancaran Penjenamaan Terapis Proreflexy bagi Proper A 2024, Bidang Kursus Relfleksologi dan Urutan.
Katanya lagi, melalui kursus itu, semua peserta dapat meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga.
“Jenama Proreflexy telah mula digunakan oleh para peserta kursus dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Legasi ini akan disambung oleh para peserta kursus sesi 2024 pula,” katanya.
Kumpulan terapis Proreflexy ini bukan sahaja bergerak ke seluruh Perak tetapi telah mula ke negeri lain seperti Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur.
Pencapaian bermakna bagi kumpulan terapis ini apabila diberi ruang memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Pavillion Perak ketika MAHA 2024 di Maeps Serdang.
Dalam pada itu, Rohizan berkata MAIPk memperuntuk RM1.18 juta dana zakat bagi pelaksanaan Proper A 2024 yang membabitkan penyertaan seramai 105 peserta bagi tahun ini.
Ia katanya bagi membantu golongan asnaf mendapatkan latihan keusahawanan yang merangkumi empat bidang iaitu urutan refleksologi, dandanan rambut, kulinari, dan penternakan lebah kelulut.
Katanya, semua peserta diberikan latihan selain dibekalkan peralatan perniagaan bagi memulakan perniagaan dalam bidang latihan yang diceburi.