13 pelajar Medan, Indonesia tinggal bersama keluarga angkat di Ipoh, kukuh hubungan dua bandar raya

Berita Perak

IPOH: Seramai 13 orang pelajar dari Medan, Indonesia diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing di sini menerusi Program Pertukaran Pelajar Bandaraya Persahabatan Ipoh-Medan, Indonesia pada Ahad.

Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, kesemua pelajar itu akan bersekolah dan tinggal bersama keluarga angkat masing-masing sehingga 29 Jun ini.

Katanya, ia merupakan kali kedua dianjurkan selepas hampir 10 tahun ia tidak dilakukan, iaitu kali terakhir pada 2015.

“13 pelajar itu terdiri daripada tujuh lelaki dan enam perempuan, masing-masing berusia dalam lingkungan 15 hingga 17 tahun.

“Penganjuran program ini adalah hasil kesinambungan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang telah menjalinkan hubungan bandar raya persahabatan dengan Kota Medan sejak 28 Ogos 2009.

“Kewujudan hubungan bandar raya persahabatan ini dibuat berdasarkan kesaksamaan dan kepentingan bersama.

“Ia bertujuan memperkukuh dan mewujudkan perkongsian serta kerjasama antara dua bandar raya bagi mempromosi kesefahaman dan persahabatan antara rakyat Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Anak Angkat menerusi Program Pertukaran Pelajar Bandaraya Persahabatan Ipoh-Medan Indonesia, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Majlis MBI, Lawrence Palanisamy, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Fakrul Nizam Pakhruddin serta Kepala Bahagian Kerjasama Pemerintah Kota Medan, Indonesia, Drs. Lilik, M, Ap.

Ujarnya lagi, untuk tahun hadapan, akan ada perancangan untuk menghantar pelajar pertukaran dari Ipoh pula ke Medan.

Dalam pada itu, Rumazi berharap hubungan antara dua bandar raya itu dapat terus dipelihara.

Di samping dapat memperkukuh hubungan kerjasama antaranya dalam bidang, ekonomi, perdagangan, sains dan teknologi, kebudayaan, sukan serta kesihatan pendidikan.