Lima lelaki didakwa bunuh, berpunca perselisihan kegiatan curi kabel

Berita Perak

IPOH: Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki lain dipercayai selepas perselisihan faham berkaitan kegiatan mencuri kabel, minggu lalu.

S.K Siri Sakti Vell, 22 tahun; K. Thiruchelvan, 33; Shashipal Singh Manmuhan Singh, 36; N. Thaneshwaran, 24 dan P. Ukenthiran, 35, mengganguk faham apabila pertuduhan terhadap mereka dibaca secara bersama di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas telah melakukan bunuh terhadap S. K Kerisnan, 18, di kawasan berhampiran Kuil Sri Subramaniar, Jalan Perpaduan Southward, Tanjung Rambutan antara jam 1 hingga 4 pagi, pada 12 Mei lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak digantung sampai mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. 

Tiada jaminan dibenarkan da. Mahkamah menetapkan 20 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen, termasuk laporan perubatan. 

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dilaporkan berkata, kira-kira jam 5.45 petang 12 Mei lalu, polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki tempatan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta di Jalan Lang Indah A/5 Ipoh.

Menurutnya mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat yang dijalankan pakar forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mendapati punca kematian adalah akibat ‘blunt trauma of the head’ atau trauma tumpul pada kepala.

Muhammad Najib berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan kegiatan mencuri kabel.

Ends