Jangan putus asa dalam perjuangan – YB Arafat

Berita Perak

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menasihatkan pemimpin dan ahli pertubuhan, termasuk koperasi, agar jangan mudah berputus asa di dalam perjuangan.

Menurutnya, apa yang penting ialah niat mereka mesti ikhlas dalam perjuangan untuk membantu ahli-ahli.

“Pemimpin jangan putus asa, tidak berjuang untuk kepentingan individu, sebaliknya untuk kepentingan koperasi dan ahli-ahli,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke-12 Koperasi Veteran dan Anggota 69 Komando Perak Berhad di Dewan Surau Taman Bahagia Tanjung Rambutan, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Koperasi Veteran dan Anggota 69 Komando Perak Berhad, Datuk Zanuddian Shamsu Hadi, wakil-wakil dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak dan Koperasi DPPM Perak Berhad.

Muhamad Arafat merakamkan ucapan tahniah kepada Koperasi Veteran dan Anggota 69 Komando Perak kerana mampu bertahan selama 12 tahun dengan pelbagai kegiatan ekonomi dan kebajikan untuk ahli-ahli.

“Ini menunjukkan bukti bahawa pemimpin koperasi yang tidak pernah putus asa, sama seperti semangat perjuangan ketika masih dalam perkhidmatan,” ujarnya.

Beliau memberi jaminan akan terus membantu koperasi kerana ia secara tidak langsung turut membantu menyelesaikan masalah masyarakat setempat.

Beliau turut mencadangkan agar koperasi mencari kawasan yang sesuai untuk membina bangunan pejabat sendiri.

Pada majlis itu, beliau juga mengumumkan sumbangan seekor lembu kepada koperasi untuk korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 27 Mei depan.