Cikgu Sejarah dinobat jutawan BSN SSP, rai Hari Guru 2026 lebih bermakna

Berita Perak

IPOH: Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menyerahkan cek cura bernilai RM1 juta kepada M. Munisuaran, 56, seorang guru Sejarah dari Pulau Pinang yang telah memenangi Cabutan Jutawan BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) ke-123 pada 2 Mei lalu.

Majlis penyerahan cek cura ini telah berlangsung sewaktu Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-55 Tahun 2026 di Ipoh, Perak, sekali gus menjadikan kisah kejayaan beliau sebagai inspirasi kepada warga pendidik.

Munisuaran, yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Butterworth berkata, dia mula menyimpan sejak tahun 1990.

“Saya mula simpan semenjak saya membuka akaun BSN ketika di universiti, dari tahun 1990, tahun pertama saya di universiti.

“Selepas itu saya meneruskan simpanan sehinggalah saya bekerja untuk semua ahli keluarga saya, termasuk saya. Sijil pun saya beli untuk anak saya dan juga untuk diri sendiri,” katanya selepas majlis penyerahan di sini.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia menyimpan antara 0.5 hingga satu peratus daripada gajinya dan tidak pernah mengeluarkannya kerana sebagai persiapan hari tua.

Dia mula menyimpan dalam BSN SSP sejak 2015 dengan deposit pertamanya sebanyak RM3,000 dan terus menyimpan hadiah kemenangan itu di dalam SSP BSN.

Menurutnya, dia hanya akan memikirkan rancangan untuk menggunakan hadiah kemenangan itu setelah bersara pada 2030.

Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, kisah Munisuaran adalah contoh terbaik yang BSN sentiasa ingin melihat rakyat Malaysia yang mengambil langkah kecil secara konsisten untuk masa depan mereka.

“Beliau bukan sahaja menabung untuk menang, tetapi menabung untuk kehidupan yang lebih terjamin. Itulah sebenarnya semangat di sebalik BSN SSP,” ujarnya.

Dalam usaha memperluas mesej menabung dan celik kewangan di kalangan warga pendidik, BSN turut menyumbang lebih RM500,000 bagi menyokong Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55.

Melalui sumbangan ini, semua penerima anugerah akan dihadiahkan wang tunai BSN SSP.

Bagi penerima anugerah ‘Tokoh Guru Kebangsaan’ dan ‘Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan’, masing-masing akan menerima RM60,000 BSN SSP selaras dengan mandat BSN untuk memupuk budaya menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Selari dengan tema Sambutan Hari Guru tahun ini, ‘Guru Bitara, Nadi Negara’ penglibatan BSN dalam Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 bukan sekadar sokongan kewangan, ia adalah cara kami menzahirkan penghargaan terhadap golongan pendidik yang telah banyak berjasa demi membentuk generasi akan datang.

“Kami berharap inisiatif ini dapat terus memberikan impak yang bermakna kepada warga pendidik di seluruh negara,” kata Mujibburrahman.

Sambutan selama dua hari itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.