Hubungan parti komponen Kerajaan Perpaduan Perak kekal terbaik

Berita Perak

IPOH: Di sebalik situasi panas di Johor dan Negeri Sembilan, hubungan serta kerjasama antara parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan di negeri Perak kekal berada pada tahap yang terbaik.

Pengerusi Majlis Pimpinan (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, semangat kerjasama dan kestabilan politik yang wujud pada hari ini perlu terus dipelihara demi memastikan agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat dapat diteruskan secara konsisten.

“Politik sentiasa bersifat dinamik dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya ketika dialog sempena majlis minum petang MPN Perak bersama pengamal media di sini, petang semalam.

Justeru itu, katanya, PKR Perak memberikan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan dan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menentukan halatuju politik parti serta strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Beliau diminta mengulas suasana politik di Perak ekoran situasi panas yang berlaku di selatan tanah air, khususnya Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini apabila Barisan Nasional (BN) dan PH masing-masing menyatakan kesediaan untuk bertanding solo pada PRU atau Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebagai makluman pada PRU15 lalu, PH memenangi 24 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN / UMNO memenangi 9 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) 26 kerusi.

Ditanya mengenai kemungkinan PH turut bertanding solo di Perak, Mohamad Hairul Amir berkata, mereka menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan parti.

Mengulas mengenai ahli yang meninggalkan parti selepas mantan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad keluar dari PKR, beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenainya.

“Maklumat tepatnya kami tidak ada, kecuali di Tanjung Malim enam orang dan mungkin ada beberapa orang yang kita kenal pasti di Facebook, saya rasa kurang daripada 20 orang, cuma maklumat tepat tu, ibu pejabat yang ada,” ujarnya.

Tegasnya, PKR Perak kekal teguh dan stabil walaupun terdapat sebilangan anggota yang telah menyatakan pendirian untuk
bersama Rafizi Ramli.

Berhubung persiapan menghadapi pilihanraya, katanya, PKR Perak telah mengarahkan seluruh cabang agar memperkemas jentera pilihanraya pada tahap maksimum.

Ditanya kedudukan Anwar sama ada terus kekal bertanding di Tambun, Mohamad Hairul Amir berkata, masih terlalu awal untuk membuat andaian kerana berdasarkan pengalaman, presiden PKR itu hanya akan membuat keputusan dalam masa dua atau tiga bulan sebelum PRU.

“Beliau tidak kisah pun soal kerusi tu selamat atau tidak. Misalnya sebagai presiden, tujuan beliau datang ke Tambun tempoh hari adalah untuk mendapatkan momentum dan sokongan kita di bahagian utara ni untuk kita menang lebih banyak kerusi di Perak untuk menyumbang kepada kerusi federal,” katanya.

Beliau merasakan buat masa ini tiada sebarang perubahan dan PKR Perak sangat memerlukan Anwar untuk terus berada di Perak untuk membantu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang.