IPOH: Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menyediakan lebih RM9.6 juta peruntukan bagi membangunkan kemahiran golongan asnaf di Perak tahun ini.
Menurut kenyataan MAIPk, bagi tujuan itu, MAIPk menandatangani perjanjian melibatkan tiga penyedia latihan iaitu SRC Resources Sdn. Bhd., Kulim Advanced Technologies Sdn. Bhd. dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara, semalam.
Katanya, majlis telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh.
Selain itu, MAIPk turut menyampaikan surat lantikan kepada 10 penyedia latihan iaitu Vocational Education Training Academy, IJN University College, UCSI Hospital, UOA Academy, Vision University College, NIATS Oil, Gas and Marine Academy, AMKTC Academy, Haaza Centre Of Excellence, High Skill Technology Sdn. Bhd. (HiSTEC) dan Kolej Teknikal Sri Ayu.
“Majlis itu menjadi simbol komitmen serta kerjasama strategik antara MAIPk dan penyedia latihan dalam memperkasa pembangunan modal insan asnaf melalui pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti, berdaya saing serta selaras dengan keperluan industri semasa,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, jumlah keseluruhan lantikan bagi Program Latihan Kemahiran Asnaf Tahun 2026 adalah sebanyak RM9,606,707 dengan sasaran penyertaan seramai 919 peserta.
“Semoga kerjasama ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan asnaf untuk meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan serta membina masa depan yang lebih baik, mampan dan sejahtera,” ujarnya.











