IPOH: Kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat terus diperkasakan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti kecergasan yang bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kesihatan, malah menjadi platform untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira usia dan kaum.
Selaras dengan usaha itu, seramai 225 peserta menyertai program Fitsquad ZumbaFest Groove and Glow 2.0 Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta yang berlangsung di Dewan Bandar Baru Tambun di sini.
Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, program itu adalah kesinambungan siri pertama yang diadakan di Kampung Kepayang.

Namun, katanya, kali ini ia dilaksanakan ke kawasan DUN Hulu Kinta bagi memudahkan penyertaan penduduk setempat.
Sementara itu, beberapa peserta yang ditemui menyambut baik program yang dianjurkan itu.
Penjawat Awam, Azidah Akmarwati Abdullah Azizi, 52, berkata, zumba adalah antara antiviti kecergasan yang sangat berfaedah untuk semua peringkat umur.


“Ia sangat bagus diketengahkan dan saya haraplah aktiviti ini akan diteruskan untuk tahun-tahun yang kehadapan,” ujarnya.
Bagi Samantha Wong, 40, pula, dengan menyertai aktiviti zumba, ia dapat meningkatkan lagi kecergasan diri.
“Saya menyertai zumba hampir setiap hari di beberapa tempat, khususnya di Hulu Kinta, Stesen 18, Taman Botani sejak hampir 10 tahun, ia sangat bagus,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Nadia Syafina Shaharudin, 34, berkata, dia mengajurkan program itu kali kedua kerana sambutan yang baik daripada program yang pertama.

“Biasanya kita buat program seumpama ini untuk sekitar 200 orang tapi nampaknya kali ini 225 orang mengambil bahagian,” katanya yang juga seorang Fisioterapi.





