Pelbagaikan produk hiliran durian untuk atasi lambakan – Exco

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Pengusaha durian di Perak perlu kreatif dengan menghasilkan produk hiliran seperti tempoyak dan pes durian dalam usaha membantu mengatasi lambakan durian sepanjang pengeluaran raja buah itu.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, mereka tidak sepatutnya bergantung penuh kepada jualan buah segar kerana terdapat pelbagai peluang pasaran yang boleh diterokai melalui produk berasaskan durian.

Menurutnya, kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa membantu memperkukuh pemasaran durian dengan menyediakan 90 pusat penjualan di seluruh negara selain menetapkan harga RM2.70 sekilogram bagi durian kampung sebagai langkah mengurangkan kerugian pekebun sekiranya berlaku lebihan bekalan

“Sekiranya pengusaha durian mempunyai inisiatif dan kreativiti dalam menghasilkan produk berasaskan durian, kita boleh memasarkan durian dalam pelbagai bentuk.

“Selain dijual segar, durian boleh diproses menjadi pes untuk pasaran eksport dan juga tempoyak yang mendapat permintaan tinggi terutamanua di luar musim durian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi walkabout pada Jelajah Sejahtera Agro @ DUN Lintang di Arena Sungai Siput di sini hari ini.

Mohd Zolkafly berkata antara kawasan yang mempunyai pusat pemprosesan durian adalah di Batu Kurau, Taiping dan Chui Chak, Langkap yang membolehkan pekebun menghantar hasil mereka terus kepada operator untuk diproses dan dipasarkan.

Katanya, musim durian yang berlaku serentak di seluruh negara telah menyebabkan lebihan bekalan namun keadaan itu dapat dikurangkan dengan mempelbagaikan saluran pemasaran dan aktiviti pemprosesan.

Pada masa sama, ujarnya, pegawai FAMA di peringkat daerah sentiasa berhubung dengan pekebun bagi membantu memasarkan hasil mereka termasuk membeli durian kampung pada harga RM2.70 sekilogram sekiranya pengusaha menghadapi kesukaran menjual hasil.

Menurut Mohd Zolkafly, musim durian kini menghampiri penghujung dengan pengeluaran semakin berkurangan dan harga pasaran dijangka mula kembali stabil.