Pasangan suami isteri terkait ahlong dituduh khianat

Berita Perak

IPOH: Pasangan suami isteri yang terkait dengan ahlong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan khianat terhadap harta benda milik beberapa individu bulan lalu.

M. Dhinakaran, 34 dan B. Rahtheneswary, 34, membuat pengakuan itu apabila pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Bagi pertuduhan pertama, mereka yang mempunyai lima orang anak didakwa dengan niat membaling satu botol kaca molotov yang telah menyebabkan kerosakan sebuah rumah dan sebuah kenderaan jenis Honda BRV milik seorang lelaki berumur 52 tahun di Pekan Razaki, Ipoh, kira-kira jam 4 pagi, 4 Jun 2026.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 14 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh melakukan khianat dengan api dengan niat hendak membinasakan empat buah rumah milik empat individu di Taman Kledang Suria, Menglembu, kira-kira kam 5 pagi pada 11 Jun lalu.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka dituduh melakukan khianat dengan api dengan niat hendak menyebabkan kerosakan pintu masuk sebuah rumah di Menglembu Bistari, Ipoh, kira-kira jam 3.30 pagi, 12 Jun 2026.

Bagi pertuduhan ini, mereka dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Hakim Ainul Shahrin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM11,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, Dhinakaran mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan sengaja menyimbah cat merah di pagar serta kereta milik seorang lelaki di Taman Restu Jaya, Ipoh, kira-kira jam 5.20 pagi, 5 Jun lalu dan sebuah kereta milik seorang lelaki lain di Menglembu Bistari, kira-kira jam 8.30 pagi pada 8 Jun lalu.

Majistret S. Punitha menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi setiap kesalahan atau enam dan tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda.

Di mahkamah sama, Rahtheneswary, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama suaminya, melakukan khianat dengan menyimbah cat merah ke atas sebuah kereta milik seorang lelaki di Menglembu Bistari, kira-kira jam 8.30 pagi pada 8 Jun lalu.

Mahkamah membenarkan ibu kepada lima anak berumur antara 2 hingga 9 tahun itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Dhinakaran mengaku bersalah manakala isterinya mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama dengan curang melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan harta milik seorang lelaki di Taman Temara, Ipoh, kira-kira jam 5.30 pagi, 4 Jun 2026.

Majistret Norizan Ridzuan menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar denda terhadap Dhinakaran.

Mahkamah turut membenarkan Rahtheneswary diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.