Yayasan IKRAM Malaysia sumbang RM5,000 untuk pelajar PUO

Berita Perak

IPOH: Seramai 50 pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) dari pelbagai jabatan pengajian menerima sumbangan kewangan daripada Yayasan Ikram Malaysia (IKRAM) di sini, hari ini.

IKRAM melalui program khasnya, Sumbangan Prihatin Ramadan 1445 Hijrah telah menyumbang RM5,000 sebagai usaha untuk membantu menampung perbelanjaan para pelajar khususnya dalam sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.

PUO dalam kenyataannya berkata, penerima terpilih menerima sumbangan sebanyak RM100 seorang yang disampaikan Timbalan Yang Dipertua IKRAM Ipoh, Ir Megat Shariffudin Ibrahim.

Menurutnya, penerima juga turut menerima sumbangan kewangan dari Pertubuhan Amal Kebajikan Insan (PAKis) serta hasil usaha sama pensyarah Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) Politeknik Ungku Omar.

Sumbangan dari pihak PAKis dan warga JMSK telah disampaikan oleh Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Shamsuri Abdullah.

Turut hadir ke sesi penyampaian sumbangan adalah Ketua Wanita IKRAM Ipoh, Nur Hafizah Abdul Kadir,
AJK IKRAM Negeri Perak merangkap PIC Khidmat Masyarakat IKRAM Ipoh, Ramlah Alwi dan AJK IKRAM Ipoh, Samihah Yakub dan Mohd Shukri Daud.

Ini merupakan tahun kedua sumbangan seumpama ini disampaikan pihak IKRAM kepada warga PUO sejak pemberian pertama pada tahun 2023.

Yayasan Ikram Malaysia diperbadankan pada 31 Oktober 2011 mengikut Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) di bawah Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dan beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2019.

Sumbangan Prihatin Ramadan 1445 Hijrah merupakan hasil usaha kerjasama Yayasan IKRAM Malaysia dan Pertubuhan IKRAM Malaysia kawasan Ipoh.