Wanita Ikon Perak perkenal Edu-Preneurs, perluas ke negeri lain

Berita Perak

IPOH: Lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada golongan muda dan suri rumah menyertai program Edu-Preneurs Pembangunan Ekonomi Wanita baru-baru ini.

Menurut Wanita Ikon Perak, Tina Tajuddin, program yang menekankan prinsip learn & earn itu bertujuan untuk membantu lapisan masyarakat seperti suri rumah, usahawan serta graduan.

Jelasnya lagi, program itu julung-julung kali diadakan yang mengambil tempat di Ipoh dan akan diluaskan ke daerah lain di Perak.

“Ia merujuk kepada pembangunan ekonomi wanita dan berperanan untuk mengangkat ekonomi di semua peringkat.

“Khasnya yang terkesan seperti suri rumah, graduan yang belum mendapat pekerjaan serta pelajar yang sedang mengikuti pengajian di kolej serta universiti.

“Cetusan idea yang saya bawa ini berteraskan belajar sambil menjana pendapatan.

“Edu-preneurs adalah perusahaan menerusi pendidikan, kita boleh bantu golongan sasaran lebih besar dalam menjadi usahawan pendidikan tanpa meninggalkan rumah, boleh jana pendapatan,” katanya ketika ditemui di Taj International College (TAJ) di sini.

Tina menambah, usaha yang digerakkan itu turut akan dipertimbangkan untuk disebar ke negeri lain.

“Kita melihat peranan wanita dalam menyumbang dari sudut ekonomi, jadi kena ada platform untuk membantu lebih ramai golongan itu.

“Seperti yang lihat para peserta yang terlibat dalam program ini ada utarakan soalan dan pandangan dari sudut hala tuju mereka.

“Mereka sendiri boleh jadi pengasas kepada produk sendiri, namun perlu ada sokongan dan bimbingan dari pihak tertentu, inilah yang mahu saya bawa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif TIC berkata, kebanyakan peserta yang hadir dalam program itu adalah mereka yang datang dari luar bandar.

Terdahulu dalam program tersebut, para peserta mendengar taklimat disampaikan Tina di samping proses pendaftaran bagi mereka yang berminat.

https://kelabwanitaikon.com/vote-awim2425/ Jangan lupa Undi Wanita IKON PERAK sebagai IKON Wanita Malaysia