UPSI terima 4,195 pelajar baharu bagi sesi akedemik 2024/2025

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Seramai 4,195 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda yang mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sabtu lalu mempunyai latar belakang yang cemerlang dari segi pencapaian akademik, sukan, kepimpinan dan kokurikulum.

Sehubungan itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menjemput beberapa pelajar berkongsi pengalaman dalam bidang inovasi, pencipta perisian akademik, sukan serta bakat kepimpinan sewaktu sekolah, matrikulasi dan pra-universiti.

Perkongsian itu diadakan sempena majlis ikrar pelajar UPSI Ambilan September 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, semalam.

Prof Md Amin berkata, majlis itu menjadi medium bagi mengenali pelajar dengan lebih lanjut dari segi pencapaian yang berjaya diperolehi sebelum ini.

“Kita lihat ada pelajar kita yang memperolehi juara dalam inovasi, tilawah Al-Quran walaupun mempunyai masalah cacat penglihatan, ada ahli sukan, ada ahli pidato dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau terharu dengan pencapaian pelajar baharu itu yang hebat dan cemerlang secara holistik, bukan semata-mata cemerlang dalam akademik tetapi seimbang dalam segenap aspek.

“Saya ingin berpesan kepada semua pelajar agar mengamalkan budaya UPSI iaitu budaya senyum, sapa dan salam serta sentiasa mengenang jasa ibu bapa yang banyak berjasa,“ ujarnya.

Beliau juga berharap semoga kecemerlangan yang dimiliki pelajar dapat diteruskan agar dapat menjadi insan yang menjadi contoh kepada anak bangsa masa hadapan.

Menurutnya, UPSI adalah sebuah universiti yang tersohor dalam melahirkan pendidik yang berbakti di seluruh tanah air demi masa hadapan anak bangsa.

“Justeru, sepanjang pengajian kalian, mari sama-sama kita berjuang mengharumkan nama UPSI, sebuah universiti yang lengkap dengan pelbagai kemudahan yang kondusif serta terhampar indah di sisi Banjaran Titiwangsa,” katanya.

Pada majlis itu, Prof Md Amin turut menyerahkan surat tawaran Program Pembangunan Siswa SULUNG, UPSI kepada lima pelajar yang terpilih iaitu Nurul Hazwanie Badeli, Nurin Irdina Zambi, Nur Fatihah Mohammad Samsudin, Nur Aliz Airiz Kamarudin dan Nurul Ain Natasha Hasmadi.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar serta Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin.

Program itu adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membantu pelajar B40 menjadi individu pertama dalam keluarga menjejaki kaki ke universiti dengan memberi penawaran pengecualian yuran universiti.

Majlis ikrar pelajar diketuai oleh Amin Syahmi Azahar, dari program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi.