UPSI catat kadar kebolehpasaran graduan 97 peratus pada 2024, tertinggi dalam tempoh lima tahun

Berita Perak

IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi pendidikan terkemuka negara apabila mencatat kadar kebolehpasaran graduan (GE) sebanyak 97 peratus bagi tahun 2024.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, ia merupalan pencapaian tertinggi universiti itu dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, berdasarkan data rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), kadar bekerja graduan UPSI turut mencapai 97.4 peratus.

“Ia mencerminkan keberkesanan pendekatan universiti dalam melahirkan graduan berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kadar kebolehpasaran graduan UPSI pada tahun 2023 adalah 95.3 peratus, dan peningkatan sebanyak 1.7 peratus pada tahun lalu, membuktikan trend positif serta komitmen berterusan universiti dalam meningkatkan kualiti graduan.

“Peningkatan ini bukan sahaja mengatasi kadar kebangsaan, bahkan menunjukkan komitmen UPSI dalam memperkukuh pendekatan berteraskan industri, selain memastikan keseimbangan antara teori dan amalan dalam setiap program pengajian yang ditawarkan,” ujarnya.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha kolektif seluruh warga UPSI yang sentiasa berinovasi dalam melaksanakan kurikulum dinamik, memperluas jaringan kolaborasi strategik bersama industri, serta memperkasa kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

Md Amin berkata, UPSI akan terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam bidang pendidikan dengan memberi fokus kepada pembangunan holistik pelajar, penyelidikan berkualiti tinggi, serta keterlibatan komuniti yang mampan.