Tular bot pelancong karam di Pulau Pangkor palsu- Polis

Berita Perak

MANJUNG: Polis menafikan maklumat tular berhubung kejadian bot pelancong yang dikatakan karam di Pulau Pangkor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata, sebaliknya kejadian tersebut berlaku di luar negara.

Katanya, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima maklumat berhubung maklumat tidak sahih itu pada Jumaat, sekitar jam 9 pagi.

“IPD Manjung telah terima maklumat tidak sahih berkaitan dengan kejadian bot pelancong karam di Pulau Pangkor yang tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp.

“Hasil siasatan pihak polis Manjung mendapati kejadian tersebut bukan berlaku di Pulau Pangkor, sebaliknya di luar negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan serta tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar sehingga mengganggu ketenteraman awam.