Treler tepung terbalik, pemandu cedera tersepit

Berita Perak

SIMPANG PULAI: Seorang lelaki cedera tersepit setelah treler muatan tepung yang dipandu terbalik di Kilometer (KM) 292.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pemandu treler berusia dalam lingkungan 40-an itu cedera di bahagian dada dan kaki.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.06 pagi tadi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dan BBP Gopeng bergegas ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan sebuah treler membawa muatan tepung terbalik dan didapati seorang pemandu lelaki tersepit dan cedera.

“Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan dengan menggunakan power unit dan peralatan menyelamat.

“Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada Sabtu.

Katanya lagi, bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan di lokasi kemalangan supaya selamat dilalui oleh pengguna jalan raya lain.

Operasi yang diketuai PBK II Hazuraimee Iskandar Harun itu tamat pada jam 11.08 pagi.