Polis berkas dua lelaki, guna MPV mewah bawa 690 kg daun ketum

Berita Perak

IPOH: Polis memberkas dua lelaki tempatan selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Alphard di Kilometer 371 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Tanjung Malim, semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Khalid Mohamad berkata, dua suspek itu ditahan kira-kira jam 2 pagi oleh peronda lebuhraya (EMPV) Sektor 7 dan Sektor 8, Zon Utara 4, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

“Hasil pemeriksaan kenderaan tersebut telah menjumpai 69 bungkusan plastik hitam berisi disyaki daun ketum, anggaran berat 690 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM27,600,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, semakan awal mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod dadah dan lima rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai dua rekod dadah dan satu rekod jenayah.

Beliau berkata, suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar (runner) bekalan daun-daun ketum untuk pasaran tempatan.

Katanya, polis turut merampas Toyota Alphard bersama satu unit kunci alat kawalan jauh kenderaan untuk tujuan siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Ends.