KAMPAR: Polis berjaya menumpaskan sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian yang menyamar sebagai polis Jepun selepas memberkas 13 suspek warga asing dalam tiga serbuan di Kampar pada Khamis lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek terdiri daripada sembilan warga Jepun, termasuk dua wanita dan empat lelaki warga China yang masuk ke negara ini menggunakan pas pelawat.
Menurutnya, kesemua suspek yang berumur antara 20 hingga 57 tahun itu diberkas dalam serbuan ke atas tiga unit kondominium di Jalan Kolej, Taman Bandar Baru, Kampar.

“Siasatan awal mendapati kegiatan ini dipercayai telah bermula sejak Ogos 2026 dengan premis berkenaan dipercayai digunakan sebagai pusat operasi bagi menjalankan penipuan penyamaran identiti terhadap mangsa di Jepun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi yang dikenalpasti adalah penipuan penyamaran identiti sebagai pegawai polis Jepun.
“Hasil siasatan awal turut mendapati kesemua individu yang ditahan dipercayai menerima bayaran dalam bentuk komisen berdasarkan hasil penipuan yang berjaya dilakukan,” ujarnya.
Menurut Mohd Alwi, sebahagian suspek dipercayai pernah bekerja dan berpengkalan di Kemboja sebelum memasuki Malaysia untuk menjalankan aktiviti yang sama.
Katanya, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barang kes, antaranya dua unit komputer riba, 18 unit telefon bimbit, dua unit IPad, satu unit router internet, tiga unit lencana polis Jepun, pakaian dan tiga set pemegang kad yang tertera logo dipercayai berkaitan polis Jepun yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM20,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen
120B serta 420 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman empat hari sehingga hari ini, bagi membantu siasatan.
Mohd Alwi berkata, polis juga akan membuat semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk meneliti status kemasukan, tempoh kebenaran tinggal serta status pas lawatan semua suspek.
Ends.





