Wanita warga emas ditemukan maut, dipercayai ditikam anak sendiri

Berita Perak

KAMPAR: Seorang wanita warga emas ditemukan maut selepas dipercayai dibunuh anak perempuannya dalam kejadian di Laluan Kledang Utara 6, Taman Wang, Menglembu, Ipoh pada Ahad.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata mangsa berusia 70 tahun ditemukan dengan kesan satu tikaman di dada, dipercayai dibunuh oleh anak perempuannya berumur 49 tahun yang mempunyai masalah mental.

Menurutnya, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada suami suspek kira-kira jam 7.41 malam.

“Sebenarnya ibu dia ni baru saja diambil daripada pusat jagaan orang tua di Pusing untuk dijaga oleh anak dia dan menantu dia.

“Sebenarnya, suspek ada rekod psikiatri, jadi mungkin disebab itu, dengan kerenah jagaan orang tua ni, dia pun tikam emak dia lah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Alwi berkata, pihak polis masih menjalankan siasat dan akan mendapatkan laporan dari pihak hospital untuk mengetahui keadaan suspek.

Menurutnya, suspek ditahan dilokasi kejadian dan polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, suspek direman sehingga 4 Oktober depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Alwi berkata, anak lelaki kepada wanita orang kurang upaya (OKU) yang mati dibunuh di rumahnya di Kampung Cheh Hilir, Kati pada 23 September lalu telah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, remaja berusia 15 tahun itu sebelum ini direman bersama bapanya berusia 44 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita OKU, Nor Ainon Omar, 49, ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kediaman tersebut yang didiaminya bersama suami dan tiga anak.

Ends.