Usaha gilap pemain bola sepak bakat muda Perak diteruskan

Berita Perak

IPOH: Usaha menggilap dan mengasah bakat dalam sukan bola sepak di Perak perlu diteruskan bagi membolehkan lebih ramai pemain berbakat dilahirkan sehingga ke peringkat negeri dan kebangsaan.

Sehubungan itu, Pertandingan Bola Sepak Bawah 12 Tahun SJKT Kinta Utara Piala Ahli Parlimen Tambun akan diteruskan walaupun penyertaan tahun ini agak berkurangan.

Presiden Persatuan Bola Sepak India Perak, Datuk Amaluddin Mohd Ismail berkata, tahun ini hanya 12 pasukan mengambil bahagian kerana kebimbangan masalah jerebu yang melanda.

“Tahun ini 12 pasukan mengambil bahagian sebab mereka masih bimbang tentang jerebu tetapi kita percaya, insya Allah tahun hadapan mereka akan kembali mengambil bahagian,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis penyampaian hadiah kejohanan itu di Padang Ipoh.

Amaluddin berkata, ketika ini banyak pihak tampil menganjurkan pelbagai pertandingan peringkat umur dari 9 hingga 12 tahun bagi mencari bakat muda.

“Sekarang mereka berumur 12 tahun dalam empat atau lima tahun lagi mereka dah boleh mewakili negeri dalam kategori Bawah 16 dan 18 tahun,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya juga mengumpul pemain-pemain yang berbakat untuk didedahkan dalam kejohanan yang diadakan di negeri-negeri lain

Beliau memberitahu. sejak dahulu lagi, kejohanan yang dianjurkan untuk SJKT telah melahirkan ramai pemain negeri dan negara.

Malah, katanya, ada diantara mereka kini telah menjadi jurulatih, seperti K. Nanthakumar dan beberapa pemain lagi.

Sebanyak 12 pasukan, masing-masing lapan lelaki dan empat perempuan mengambil bahagian dalam kejohanan yang masuk tahun ke empat itu.

Pasukan-pasukan lelaki ialah SJKT Chettiars A dan B, SJKT Kampung Simee, SJKT Perak Sangeeth Sabah, SJKT Desa Pinji, SJKT Ladang Chemor, SJKT Menglembu dan SJKT Tanjung Rambutan.

Manakala pasukan perempuan ialah SJKT Chettiars, SJKT Ladang Chemor, SJKT Menglembu dan SJKT St Philomena Convent.

SJKT Chetiar A muncul johan kategori lelaki selepas menumpaskan SJKT Menglembu pada perlawanan akhir dengan jaringan 2-0.

Tempat ketiga dimenangi oleh SJKT Perak Sangheta Sabah dan keempat SJKT Tanjung Rambutan.

Johan menerima Piala Pusingan Ahli Parlimen Tambun, medal dan wang tunai RM600, kedua medal dan wang tunai RM300, ketiga medal dan wang tunai RM200 manakala keempat menerima medal.

Bagi kategori perempuan pula, johan SJKT Menglembu, naib johan SJKT Chettiars, ketiga SJKT Ladang Chemor dan keempat SJKT Philomena Convent.

Johan menerima piala, medal dan wang tunai RM500, naib johan medal dan wang tunai RM300, ketiga medal dan wang tunai RM200 dan keempat medal.

Ends.