Pemandu kereta rempuh anggota trafik hingga parah direman lima hari

Berita Perak

IPOH: Pemandu kereta yang merempuh seorang  anggota polis trafik hingga parah ketika melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) pada Khamis direman selama lima hari.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Eric Lau di Mahkamah Majistret Ipoh pada Sabtu. 

Mahkamah membenarkan reman terhadap pekerja pusat mencuci kereta itu selepas permohonan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah. 

Pada Khamis, media melaporkan seorang anggota polis trafik mengalami patah tangan kiri dan kaki kanan selepas dirempuh pemandu yang melarikan diri daripada SJR sebelum didapati positif methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang menjalankan SJR sebelum mengarahkan kereta berkenaan berhenti.

Bagaimanapun, pemandu kereta itu tidak mematuhi arahan berkenaan, sebaliknya terus memecut laju meninggalkan lokasi, lalu dikejar tiga anggota trafik. 

Apabila tiba di kawasan lampu isyarat berhampiran Bangunan SUK Perak, pemandu kereta berkenaan telah memasuki lorong kiri sebelum membuat pusingan U secara tiba-tiba dan merempuh seorang anggota trafik. 

Pemandu tersebut terus melarikan diri ke arah Gunung Lang dan setibanya di kawasan berhampiran Mc Donalds Gunung Lang, kereta berkenaan dipandu melawan arus sebelum terbabas di kawasan lampu isyarat Taman Wing Onn.

Pemandu berusia 29 tahun telah ditahan dan semakan awal mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu di samping cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh, selain turut didapati positif dadah jenis methamphetamine. 

Ends.