5,000 berdiri, iringi detik hiba penyampaian anugerah anumerta, diploma PUO

Berita Perak

IPOH: Kira-kira 5,000 hadirin berdiri memberikan penghormatan ketika penyampaian anugerah kecemerlangan secara anumerta dan diploma kepada waris dua graduan Politeknik Ungku Omar (PUO) yang telah meninggal dunia, pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Tengah Tahun 2026, hari ini.

Detik penuh hiba itu berlangsung pada Sidang 2 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sekali gus melabuhkan tirai penyertaan PUO yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Menurut kenyataan PUO, sepanjang dua hari itu, seramai 1,579 graduan PUO diraikan, selain 25 graduan cemerlang menerima pengiktirafan menerusi enam kategori Anugerah Kecemerlangan.

Di sebalik kegembiraan meraikan kejayaan graduan, sidang dua hari itu turut menyaksikan detik penuh hiba apabila Allahyarham Muhammad Daniel Zamsari, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), menerima anugerah secara anumerta selepas meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Dalam majlis sama, pengurusan PUO turut menyampaikan diploma kepada ibu bapa Allahyarhamah Nur Amalina Shafari, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan yang telah menamatkan pengajian dan hanya menunggu hari konvokesyen.

Allahyarhamah meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan lori ketika bekerja sambilan bagi mengumpul wang untuk menampung kos menghadiri majlis konvokesyen.

Suasana dewan bertukar hiba apabila kira-kira 5,000 hadirin bangun serentak memberikan penghormatan kepada kedua-dua graduan serta berkongsi rasa sebak bersama keluarga mereka.

Hadirin beragama Islam turut bersama-sama menyedekahkan bacaan Al-Fatihah buat roh kedua-dua graduan yang telah mendahului mereka.

Detik berkenaan menjadi antara momen paling mengesankan sepanjang dua hari penyertaan PUO apabila kejayaan yang sepatutnya diraikan bersama bertukar menjadi kenangan abadi buat keluarga kedua-dua graduan.

Menurut kenyataan itu lagi, daripada keseluruhan 1,579 graduan 1,002 orang adalah lelaki manakala 577 lagi perempuan.

Katanya, PUO turut mengiktiraf 25 graduan cemerlang menerusi enam kategori sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka dalam akademik, kokurikulum, kepimpinan, industri dan penghasilan projek.

“Daripada jumlah itu, lima menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, seorang Anugerah Khas (Sarjana Muda), seorang Anugerah Khas Kepimpinan, lapan Anugerah Khas Industri, sembilan Anugerah Projek Terbaik dan seorang Anugerah Pengarah,” kata kenyataan itu.

Seiring dengan agenda memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), PUO terus memperkukuh jaringan strategik bersama rakan-rakan industri.

Antaranya termasuk Panasonic Air-Conditioning Malaysia (PACMY), Daikin Malaysia Sdn. Bhd., Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), OSK Group, Orkim Berhad, Camfil Malaysia Sdn. Bhd., EA Technique (M) Sdn. Bhd., Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Di peringkat antarabangsa pula, PUO menjalinkan kerjasama dengan Guangdong Engineering Polytechnic, Hangzhou Polytechnic dan Universitas Dian Nusantara bagi memperluas pendedahan pelajar dalam aspek kemahiran, industri, penyelidikan, inovasi dan kebolehpasaran graduan.

Ends.