SUNGAI SIPUT: Tragedi yang mengorbankan seorang penduduk Orang Asal Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput, dipercayai akibat serangan harimau belang ketika mencari hasil hutan, mengundang kebimbangan terhadap aspek keselamatan masyarakat setempat.
Pegawai Khas Menteri Pendidikan, Thiyagaraj Sankaranarayanan berkata kejadian yang menimpa Zamberi Angah bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga mangsa, malah meninggalkan kesan mendalam kepada komuniti Orang Asli di Pos Perwor.
Menurutnya, menerusi program Ziarah Kasih, beliau menziarahi keluarga mangsa bagi menyampaikan ucapan takziah selain menyerahkan sumbangan dan barangan keperluan harian bagi meringankan beban keluarga.


“Keselamatan masyarakat Orang Asal perlu diberikan perhatian serius, termasuk keselamatan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Perwor.
“SK Pos Perwor mempunyai 136 murid termasuk 20 murid prasekolah. Seramai 100 murid tinggal di asrama, manakala 36 murid berulang-alik dari rumah,” katanya.
Beliau berkata, antara langkah keselamatan yang diberi perhatian oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar dan pihak berkaitan termasuk memastikan pintu pagar sekolah sentiasa ditutup, mengoperasikan pagar elektrik dari jam 7 malam hingga 6 pagi serta pemasangan perangkap di kawasan yang dikenal pasti.
Menurutnya, penglibatan anak muda setempat dalam membantu kawalan keselamatan turut diberi perhatian.
“Keadaan emosi dan kehadiran murid juga dipantau. Pegawai PPD Kuala Kangsar bersama Guru Besar SK Pos Perwor serta guru kaunseling akan terus mendampingi murid yang terkesan.


“Murid yang perlu berulang-alik juga digalakkan tinggal di asrama sebagai langkah mengurangkan risiko perjalanan,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) turut meneruskan pemantauan serta tindakan keselamatan, termasuk pemasangan perangkap di kawasan yang dikenal pasti susulan kejadian berkenaan.
Thiyagaraj berharap semua agensi berkaitan terus bekerjasama bagi memastikan keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak sekolah, sentiasa menjadi keutamaan.

“Kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang. Saya akan terus turun ke lapangan, mendengar suara masyarakat dan membawa isu yang memerlukan tindakan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berharap keluarga Zamberi Angah diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.





