IPOH: Kerajaan negeri Perak yakin pelari pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi mampu mengubah kilauan pingat dalam acara kegemarannya 100 meter (m) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 minggu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, anak kelahiran Perak itu mendapat suntikan motivasi tambahan apabila diberi peluang sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia.
Menurutnya, dengan suntikan motivasi itu, Azeem mampu memperbaiki kedudukan daripada gangsa yang dimenangi pada Sukan Asia 2022 dengan catatan 10.11s.
“Saya difahamkan dia pun berada dalam tahap prestasi yang cukup baik dalam menghadapi Sukan Asia ni.
“Dia pun dapat motivasi tambahan sebab jadi pembawa Jalur Gemilang, satu motivasi yang cukup baik kerana bukan mudah nak jadi seorang atlet bawa Jalur Gemilang dalam upacara perasmian,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan prestasi baik dan motivasi tambahan itu, tidak mustahil Azeem mampu menghadiahkan pingat emas untuk negara.
Dalam pada itu, Khairudin berkata, seramai 33 atlet Malaysia yang bertanding dalam Sukan Asia
Jepun tahun ini adalah anak Perak.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan mereka dan berharap mereka akan berjuang bermati-matian untuk negara.
Katanya seperti tahun-tahun lalu, kerajaan negeri juga akan memberi inisiatif tertentu kepada mereka, berdasarkan keputusan dan kelulusan.
“Yang pentingnya, para atlet-atlet wakil Malaysia yang berdarah orang Perak kenalah pamerkan semangat kesukanan yang tinggi, berjuang dengan penuh bermati-matian dan akhirnya dapat memperolehi pingat bagi negara kita,” ujarnya.
Ends.





