PDRM Perak, TNB potong bekalan elektrik 33 premis judi haram

Berita Perak

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melaksanakan operasi pemotongan bekalan elektrik ke atas 33 premis yang terlibat dalam aktiviti loteri awam haram dan judi dalam talian di seluruh Perak.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, tindakan itu dilaksanakan mengikut peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dalam usaha berterusan membenteras dan mengekang aktiviti perjudian haram di negeri ini.

“Tindakan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PDRM Perak dan membenteras aktiviti perjudian haram di samping menyekat pengusaha dan pemilik premis yang menyalahgunakan premis bagi tujuan menjalankan aktiviti tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan di di sini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai, khususnya pemilik serta pengusaha premis agar tidak menyalahgunakan premis bagi menjalankan aktiviti perjudian haram.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat atau masih ingkar terhadap undang-undang.

“PDRM Peran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram,” ujarnya.

Ends.