Ipoh miliki loji biogas-ke-tenaga pertama di Utara Semenanjung

Berita Perak

IPOH: Projek Biogas-ke-Tenaga berkapasiti 2 megawatt (MW) di Tapak Pelupusan Sanitari Lahat di sini menjadi loji biogas-ke-tenaga pertama seumpamanya yang beroperasi di Utara Semenanjung Malaysia.

Ia dibangunkan syarikat swasta Teraju Sepadu Sdn Bhd, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan mula beroperasi secara komersial pada 28 Mei tahun lalu selepas mencapai ‘Feed-in Tariff Commercial Date’ (FITCD) pada 19 Mei tahun sama.

Projek berkenaan memanfaatkan gas yang terhasil daripada proses pereputan sisa pepejal untuk menjana tenaga elektrik, selain membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau khususnya metana ke atmosfera.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, loji itu bukan sahaja menghasilkan tenaga, malah membantu mengurus gas yang terhasil daripada sisa pepejal di tapak pelupusan berkenaan.

“Gas tersebut dikumpulkan dan digunakan untuk menjana elektrik. Maka loji ini melakukan dua kerja yang saling berkait.

“Pertama, ia membantu kita mengurus gas daripada tapak pelupusan dan kedua menghasilkan tenaga daripadanya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas 2MW, Tapak Pelupusan Sanitari Lahat, di sini, hari ini.

Saarani berkata, kejayaan projek itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan kapasiti 2MW semata-mata, sebaliknya ia juga perlu mengambil kira jumlah tenaga sebenar yang dijana serta pengurusan bekalan gas.

Menurutnya, usaha yang digerakkan di tapak pelupusan sanitari itu membuka ruang kepada negeri untuk meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui lain mengikut kesesuaian di lokasi lain.

“Perak boleh meneroka lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui. Ada tempat yang sesuai untuk tenaga solar. Ada pula potensi daripada biogas atau biojisim. 

“Tetapi saya tidak mahu kita terus menetapkan bahawa setiap daerah mesti mempunyai projek yang sama. Lihat dahulu sumbernya, keperluannya dan kemampuan untuk mengendalikannya,” ujarnya.

Beliau mencadangkan agar agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengenal pasti potensi sisa yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber tenaga dengan mengambil kira bekalan bahan, teknologi, kos serta keupayaan pengurusan untuk jangka panjang.

Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang menggabungkan pembangunan negeri dengan usaha menjaga alam sekitar dan menggunakan sumber secara lebih cekap.

Ends.