Polis rakam keterangan 10 individu berhubung kejadian tembak di stesen minyak di Bidor

Berita Perak

IPOH: Polis telah merakam keterangan 10 individu berhubung kejadian seorang lelaki cedera ditembak dua suspek menggunakan senjata api ketika berada di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, individu berkenaan ialah mangsa serta sembilan saksi yang terdiri daripada tiga ahli keluarganya yang berada dalam kenderaan sama, pekerja stesen minyak dan orang awam yang berada di lokasi.

Menurutnya, polis juga tidak menolak kemungkinan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Land Cruiser yang dinaiki mangsa telah diekori kereta Honda City yang dinaiki dua suspek dan seorang pemandu.

“Ada kemungkinan juga dia diekori sebab kalau tidak dia tak datang dalam keadaan laju.

“Keadaan kereta tu bergerak ke tempat di stesen petrol ni dia agak lajulah.

Dia bawa laju, dia pecut kemudian dia berhenti di depan kereta mangsa dan dia lakukan tembakan,” katanya kepada pemberita selepas meraikan pesara dan bakal pesara Kontinjen Perak 2026 di Mes Pegawai Pegawai Kanan Polis di sini, hari ini

Mohd Alwi berkata, siasatan mendapati kenderaan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurutnya, pihak polis telah mendapatkan rakaman kamera tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan.

Katanya, mereka juga telah melihat rakaman CCTV di plaza tol berhampiran tetapi tidak menunjukkan kereta suspek keluar daripada laluan tersebut.

Katanya, polis masih menyiasat motif kejadian terhadap ahli perniagaan itu yang mempunyai perniagaan di sekitar Bidor, Slim River dan Tapah.

Menurutnya, mangsa kini dirawat di sebuah hospital swasta di Ipoh dah keadaannya dilaporkan stabil.

Pada Selasa, media melaporkan seorang lelaki cedera ditembak dua individu menggunakan senjata api ketika berada di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor.

Mohd Alwi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.08 petang apabila mangsa, seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun tiba di stesen minyak tersebut dengan menaiki Toyota Land Cruiser berwarna putih untuk mengisi minyak.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah Honda City berwarna hitam datang dari arah Pekan Bidor sebelum berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

Dua lelaki kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.