Dua pelajar perempuan maut, seorang parah, nahas motosikal kereta di Tambun

Berita Perak

IPOH: Dua orang pelajar perempuan maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal yang mereka naiki terlibat nahas dengan sebuah kereta Taman Perpaduan Ria, Tambun, hari ini.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka dikatakan sedang dalam perjalanan ke sekolah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 7.22 pagi dan menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah motosikal jenis Yamaha EZ115.

“Terdapat tiga orang pelajar sekolah (penunggang dan pembonceng motosikal) tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah dan dalam keadaan separa sedar.

Menurutnya, anggota Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan memasang ‘Cervical Collar’ sebelum membawanya ke hospital.

Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang melibatkan tiga anggota bomba tamat sepenuhnya 8.33 pagi.