Tragedi kepala air: Jenazah tiga beradik dikebumi satu liang lahad

Berita Perak

TAPAH: Jenazah tiga beradik mangsa tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor dikebumikan dalam satu liang lahad Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, pada Khamis.

Jenazah Hafiy Muhayat Azam, 4, Hanum Marissa, 2, dan Hanna Mikayla, 7 dikebumikan dalam satu liang lahad sekitar jam 6.20 petang di sisi pusara ibu mereka, Aszura Bani, 37.

Kenderaan yang membawa ketiga-tiga jenazah dari Masjid Al-Muhtadin Bidor tiba di tanah perkuburan dengan disambut bapa mereka, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46 dan lebih 60 ahli keluarga.

Suasana pilu menyelubungi kawasan berkuburan dan hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah ketiga-tiga beradik itu.

Sebelum itu, jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Muhtadin Bidor sekitar jam 5.20 oleh kira-kira hampir 50 jemaah dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk setempat.

Terdahulu, kira-kira jam 12.20 tengah hari, jenazah ibu tiga beradik itu, Aszura selamat dikebumikan di tanah perkuburan sama.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Rabu, seorang wanita meninggal dunia manakala tiga anaknya dikhuatiri hilang kerana dihanyutkan arus deras ketika mereka berkelah di kawasan berkenaan.

Tiga orang lagi yang turut berkelah bersama-sama mereka, termasuk seorang pengasuh warga Indonesia terselamat.

Mayat Aszura ditemui sejurus selepas kejadian berhampiran jambatan di sungai berkenaan, manakala mayat anaknya, Hafiy Muhayat Azam, 4, ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian, kira-kira jam 9.45 malam tadi.

Operasi mencari dan menyelamat yang diteruskan pagi Khamis telah menjumpai mayat dua beradik, mangsa terakhir tragedi.

Mangsa Hanum Marissa Azam, 2 dan kakaknya, Hanna Mikayla, 7 dijumpai kira-kira pukul 9 dan 9.10 pagi.