Titah Adendum: AMK Perak buat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang

Berita Perak

IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak membuat laporan polis terhadap beberapa pemimpin pembangkang mengenai dakwaan yang tidak berasas kononnya kerajaan menyembunyikan kewujudan Titah Adendum.

Ketuanya, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, mereka berharap pihak polis dapat menjalankam siasatan rapi terhadap semua individu yang terlibat.

Menurutnya, tindakan keras juga perlu diambil di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 124D Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“AMK Perak mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab beberapa pemimpin pembangkang yang terus-menerus menyebarkan fitnah jahat terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media di pekarangan IPD Ipoh di sini, hari ini.

Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja berniat mencemar kredibiliti kerajaan tetapi juga mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.

“Tuduhan palsu yang dilemparkan secara terang-terangan ini adalah serangan politik kotor yang melangkaui batas moral dan undang-undang.

“Fitnah ini bukan sahaja menyerang integriti kepimpinan negara, tetapi juga mencabar prinsip keadilan, perpaduan, dan keharmonian rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, politik toksik sebegitu adalah racun yang mengancam kestabilan negara yang kita cintai.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa tidak bertolak ansur dengan fitnah sedemikian dan AMK Perak akan terus memantau dan memastikan suara keadilan berkumandang demi melindungi kepentingan rakyat dan kestabilan negara.