Tiga rumah, empat kenderaan musnah terbakar di Sitiawan

Berita Perak

MANJUNG: Sebanyak tiga buah rumah termasuk empat kenderaan musnah dalam kejadian kebakaran di Taman Singa, Sitiawan, di sini awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian berlaku sekitar jam 2.46 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dan BBP Seri Manjung ke lokasi.

Katanya, tiga buah rumah itu masing-masing musnah sebanyak 90 peratus, 40 peratus dan 20 peratus.

“Sebuah rumah bersama dua kenderaan iaitu Proton X50, Perodua Myvi serta motosikal jenis Yamaha Ego musnah terbakar 90 peratus.

“Manakala sebuah sebuah rumah lagi bersama sebuah motosikal jenis Yamaha LC terbakar 40 peratus dan sebuah rumah musnah sebanyak 20 peratus.

“Tiada mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, pihak bomba menjalankan kerja memadam kebakaran menggunakan dua aliran 100 kaki dari sumber air tangki jentera serta pili bomba.

Operasi tersebut membabitkan kekuatan anggota seramai 18 orang dan tamat jam 4.53 pagi.