Tiga nelayan mangsa bot rosak, hanyut diserah kepada Indonesia

Berita Perak

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menyerahkan tiga nelayan warga Indonesia kepada wakil konsulat negara itu selepas vesel yang dinaiki mereka rosak dan hanyut ke Perairan Malaysia, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, tiga nelayan tersebut dikenali sebagai Atan, 37, M.Azmi, 28 dan Saffardi Affendi, 30 yang berasal dari Tanjung Balai, Indonesia.

Penyerahan berkenaan dilakukan di hadapan wakil konsulat Indonesia, Muiz Mediawan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak, Selasa lalu.

“Dalam kejadian berkenaan, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah menerima maklumat daripada pengadu iaitu seorang nelayan tempatan yang menjumpai vesel tersebut di perairan Pulau Sembilan.

“Aset bot ronda digerakkan ke lokasi bagi mengambil kesemua mangsa daripada Vesel Nelayan Tempatan (VNT) tersebut untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Shukri berkata, urusan penghantaran pulang kesemua nelayan akan dilakukan oleh pihak Indonesia sendiri.

Selain itu, wakil konsulat bersetuju menerima mangsa setelah selesai sesi pengesahan dan proses dokumentasi serta pemilik bersetuju untuk vesel mereka dimusnahkan di Malaysia memandang ia tidak lagi sesuai digunakan dan dibaiki.

Tambahnya, penyerahan kesemua nelayan itu mencerminkan hubungan baik yang sedia terjalin di antara Malaysia dan Indonesia dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan kedua-dua negara terjamin.