IPOH: Proses lelongan kereta mewah dan 727 barangan peribadi milik usahawan sensasi, Datuk Seri Vida yang tertangguh sejak Disember tahun lalu, selesai pada Khamis dengan lelongan bernilai RM1 juta.
Perkara tersebut diumumkan Pelelong Berlesen, S. Punithawathi di pekarangan kediaman Vida di Meru Height, Ipoh.
Menurutnya, dua pembida telah mengambil bahagian dalam peoses lelongan itu tetapi seorang telah menarik diri.
“Memandangkan seorang pembina telah menarik diri dan tawaran dia tidak sesuai, maka kita ada seorang pembina sahaja yang telah mendaftarkan diri.
“Maka semua barangan dalam senarai perisytiharan jualan ini akan dijual dengan harga RM1 juta.
“Saya akan memanggil sebanyak tiga kali, panggilan pertama, panggilan kedua, panggilan ketiga berjaya dijual kepada Encik Norzamri bin Abdullah,” katanya
Sementara itu, Peguam Samir Zainal yang mewakili plantif, Mohamad Taufik Kamarul Bari berkata, pembida yang berjaya perlu membuat bayaran penuh di Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum jam 4.30 petang ini.
Menurutnya, pihak plantif berpuas hati dengan proses lelongan yang turut dibantu pihak mahkamah dan polis.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan berbincang dengan anak guamnya berhubung baki yang dianggarkan RM100,000, termasuk faedah daripada bayaran sebenar.
“Jadi baki termasuk faedah dalam 100,000 lebih tu saya akan dapatkan arahan anak guam.
“Tapi saya difahamkan bahawa tuntutan tersebut masih akan dibuatlah. Jadi, maksudnya akan ada lagi proses punya akan ada lagi proses.
“Saya tidak tahu apa proses seterusnya kerana jumlahnya tidak lagi sebesar yang sebelum ini,” katanya.
Pada 25 November lalu, dianggarkan 727 barangan milik Vida disita dalam proses yang berlangsung selama lima jam di banglo mewahnya di Ipoh.
Barangan itu disita selepas Vida gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan AH Design Communication sebanyak lebih RM1 juta pada 2018.
Selain kereta jenis Toyota Vellfire, BMW X7 dan Toyota Grand Hiace,
antara barang yang disita seperti pembakar roti jenama Sharp, penapis air Coway, meja solek, peti sejuk dan lain-lain.
Acara lelong sepatutnya diadakan pada 9 Disember lalu namun, ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Vida menangguhkan proses itu.










