Tajudin bimbang sindrom ‘bisu’ dalam UMNO

Berita Perak

IPOH: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan masa depan parti itu.

Dakwanya, selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Kelima Belas yang lalu, UMNO dilihat seolah-olah tidak berusaha untuk melakukan perubahan.

Malah, katanya, pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat, dari bahagian hingga ke Mahlis Tertinggi, tidak berani bersuara untuk memperjuangkan masalah rakyat.

“Jika tidak ada perubahan dari segi tindakan, kepimpinan, khidmat kepada masyarakat, bagaimana UMNO nak kembali pulih, nak bangkit semula.

“Semuanya mendiamkan diri seolah-olah saya lihat mereka ini memikirkan kepentingan sendiri, nak jawatan, kedudukan bukan untuk parti dan perjuangan parti itu.

“Daripada atas sampai bawah tak berani nak bercakap, ada sindrom bisu tak berani nak komen atau beri pandangan dan tegur.

“Sekarang ni bukan sahaja tak berani tegur dalam kepimpinan itu tetapi tak berani tegur permasalahan rakyat,” katanya ditemui semasa Majlis Iftar Perdana Kolej Antarabangsa TAJ di kolej berkenaan di Ipoh pada Rabu malam.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu digantung daripada UMNO enam tahun mulai 2022 kerana dikatakan membuat kritikan secara terbuka kepada parti.

Tajudin berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersifat terbuka terhadap kritikan, lebih-lebih dalam soal kepentingan rakyat seperti kos sara hidup dan sebagainya.

Malah, katanya, Anwar juga sangat komited dalam perjuangan untuk orang Melayu, tanpa mengenepikan hak kaum lain.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, beliau masih lagi menyayangi UMNO meskipun digantung selama enam tahun dan akan terus menabur bakti kepada masyarakat sekitar Parlimen Pasir Salak