Syed Hussin sumbang 10 tan ikan percuma, manfaat 10,000 keluarga di Bukit Gantang

Berita Perak

BUKIT GANTANG: Sempena Tahun Baru 2025, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memberi sumbangan 10 metrik tan ikan percuma yang memberi manfaat kepada 10,000 keluarga di kawasan berkenaan.

Syed Hussin berkata, dengan sumbangan itu, bermakna setiap rumah di dalam Parlimen Bukit Gantang menerima satu kilogram ikan segar percuma.

Menurutnya, sebanyak 7.5 tan ikan kembang dan lolong diedarkan kepada penduduk di 25 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sepetang hari ini dan Changkat Jering manakala 2.5 tan lagi diedarkan di enam lokasi dalam DUN Trong, esok.

“Sebelum ini, saya buat edaran ikan percuma secara kecil-kecilan, sekitar satu tan tetapi sempena Tahun Baru 2025, saya mahu memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat di kawasan Bukit Gantang,” katanya kepada pemberita di Dewan Taman Mewah, Kamunting, dekat sini, hari ini.

Syed Hussin berkata, bekalan ikan itu diperolehi terus daripada beberapa jeti pendaratan di seluruh negara, antaranya di Perlis, Kedah dan Pahang.

“Program ini juga dapat menunjukkan kepada peniaga lain bahawa mereka masih berpeluang untuk mendapatkan bekalan ikan murah.

“Semoga ada pemimpin di parlimen lain yang dapat membuat perkara sama, untuk membantu rakyat, khususnya mereka yang susah,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui menyifatkan bantuan yang diberikan sangat bermakna kepada mereka.

Siti Aishah bt Juraimi, 65, dari
Kampung Simpang Halt berharap ada lagi program seumpama itu, bagi membantu orang kampung.

“Terima kasih kepada Datuk Syed Hussin kerana bantuan ini, ia sangat bermakna kepada orang seperti saya,” katanya.

Mohd Alif Azizi, 32, dari Kampung Cheh pula berkata, bantuan itu sangat memberi manfaat dan mengurangkan belanja dapur penduduk.

“Walau pun bagi orang tertentu, bantuan sekilo ikan ini mungkin tidak memberi kesan tetapi bagi orang kampung, orang miskin dan asnaf, ia sangat membantu,” kata pekerja kilang itu.

Warga emas, Omar Mat, 67, pula berpendapat, ikan yang diterimanya boleh memberi manfaat kepada dua keluarga sepertinya.

“Terima kasih daun keladi, semoga program seperti ini dapat diadakan lagi di masa akan datang,” ujarnya.