Sultan Perak, Raja Permaisuri berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri

Berita Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Ja’afar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Ketibaan baginda berdua kira-kira jam 10 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Bertemakan ‘Rasulullah SAW: Mendepani Cabaran, Merealisasi Wawasan ’ majlis yang dihadiri lebih 1,000 hadirin itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan selawat beramai-ramai ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada seorang pesara pembantu tadbir kesetiausahaan, Rohani Tandaik.

Ibu tunggal kepada lapan orang anak itu menerima wang tunai RM10,000, bayaran umrah sebanyak RM9,000 beserta plak dan sijil penghargaan.

Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) diberikan kepada Pensyarah Kanan Kolej Komuniti Gerik, Dr Mohd Fahmi Abdul Khir; Anugerah Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Media) pula diberikan kepada Ketua Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Abdul Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin.

Bagi Anugerah Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah diberikan kepada Persatuan India Muslim Perak yang dipengerusikan oleh Mohamed Arib Aliah.

Anugerah Tokoh Imam pula diterima Pengetua Maahad Al-Islah, Agus Lokman Sulam.

Selain itu, Anugerah Tokoh Bilal diberikan kepada penoreh getah, Mashudi Bakir dan Anugerah Tokoh Siak diterima penoreh getah, Encik Mua’ai bin Ribut.

Para penerima masing-masing membawa pulang RM5,000 beserta plak dan sijil penghargaan.