Sultan Perak berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Nusantara bersama M. Nasir

Berita Perak

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Nusantara bersama Datuk M. Nasir anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang di Pusat Konvensyen Ipoh di sini, malam ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira pada jam 8.40 malam disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang Muhammad Hamzah Md Hamdan dan pengerusi program Norali Nordin.

Muhammad Hamzah di dalam sembah ucapan berkata, majlis makan malam itu bertujuan mengumpul dana bagi melaksanakan aktiviti di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurutnya, sesi 2025 telah membawa kelab kepada halatuju baharu, sejajar dengan sasaran kerajaan negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Kelab dengan ini berikrar untuk membantu kerajaan negeri memberi penerangan tentang program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada warga ibu bapa di Perak,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, kelab juga akan melibatkan diri dalam sambutan Perayaan 500 Tahun Kesultanan Melayu Perak.

Sementara itu, Norali memberitahu, majlis malam amal nusantara berjaya mengumpul lebih RM700,000 hasil jualan 140 meja.

Pada majlis itu, Kelab Bakti Gunung Keledang menyerahkan sumbangan RM15,000 masing-masing kepada 10 buah rumah kebajikan, persatuan dan maahad tahfiz.

Turut diadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima pihak iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, M. Nasir mendendangkan beberapa buah lagu popular beliau, antaranya Mentera Semerah Padi, Ada, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Hati Emas, Mustika dan Bonda di samping lagu Satu Hari Dihari Raya.