IPOH: Perak menyasarkan kedudukan kelima teratas dengan sekurang-kurangnya meraih 30 hingga 35 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang akan diadakan di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanifah berkata, sasaran itu lebih daripada tempat kelapan dengan 27 pingat emas, dua tahun lalu.
Menurutnya, pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abd Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin sebagai timbalannya membuktikan Perak serius untuk mencatatkan keputusan terbaik tahun ini.
“Insya Allah kita akan dapat bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan persiapan atlet negeri Perak berjaya di tahap yang paling maksima dan mereka akan meletup ketika berada di Bumi Kenyalang pada bulan Ogos nanti,” katanya.
Beliau kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 Hari SUKMA Sarawak di Galasa Caldwell, di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Khairudin berkata, selain pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri, semua Exco kerajaan negeri akan dilantik menjadi keluarga angkat kepada setiap sukan yang dipertandingkan di samping agensi-agensi kerajaan negeri seperti Perak SADC, Lembaga Air Perak dan Lumut Port.
“Tujuannya kita nak buktikan keseriusan kita untuk memastikan SUKMA ini bukan setakat exco sukan dan Majlis Sukan Negeri saja terlibat, tetapi kita perlu garapkan semua agensi kerajaan untuk membantu, sebab mereka juga ada kepakaran,” ujarnya
Menurutnya, Perak telah mula membuat persiapan sejak tahun lalu dengan kem bakat dan kem sukan-sukan tertentu kerana ada antaranya yang diberi tumpuan, khususnya sukan kombat
“Kita nampak sukan kombat ini menawarkan jumlah pingat yang agak besar dan peluang serta peluang untuk negeri Perak mencipta kejuaraan dalam sukan kombat ini tinggi kerana ada antara sukan itu kita kuasa besar,” katanya.
Beliau memberi contoh antara sukan kombat itu ialah judo, silat, kabadi, silambam dan Muay Thai, selain sukan berpasukan seperti kriket dan hoki.
Katanya, Perak menghantar hampir 900 atlet dan pegawai yang akan mengambil bahagian dalam SUKMA XXI Sarawak, dengan kira-kira 500 atlet dan pegawai lelaki.