Stoking kalimah Allah: Jabat Perak, NGO lapor polis

Berita Perak

IPOH: Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak termasuk lebih enam badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis supaya tindakan tegas dikenakan kepada semua pihak yang terbabit dalam isu stoking tertera kalimah Allah.

Presidennya, Amiruddin Mohd Daud berkata, perkara itu merupakan isu yang sangat serius dalam kalangan orang Islam, walaupun seolah-olah dipandang kecil oleh orang lain.

“Kami mahu menyatakan rasa gusar terhadap apa yang berlaku baru-baru ini di Malaysia. Masalah berlaku apabila KK Mart menjual stoking yang tertulis Allah.

“Bagi orang lain mungkin perkara itu kecil, tetapi pada orang Islam ia sangat sensitif dan besar, seolah-olah menghina tuhan kami iaitu Allah SWT.

“Diharapkan dengan laporan polis ini akan memberi impak kepada individu yang sering menaikkan isu menghina tuhan kami, agama Islam serta Nabi.

“Boikot terhadap KK Mart sudah berjalan selama tiga hari di Malaysia, kita mahu pastikan KK Mart tutup terus untuk beri pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Manjoi, di sini pada Khamis.

Turut sama lebih 40 orang yang terdiri daripada enam NGO di Perak.

Beliau turut memberi peringatan kepada pemimpin DAP supaya tidak melontarkan pendapat atau isu yang sensitif terhadap Islam.

“Kami mahu beri peringatan kepada pemimpin DAP khasnya,yang selalu menjolok perkara yang sensitif dalam agama dan akhirnya memohon maaf, seolah-olah ia benda main-main,” katanya.