Stesen minyak subahat dengan sindiket seleweng minyak diesel bersubsidi diserbu

Berita Perak

MANJUNG: Taktik sindiket mengubah suai tangki lori dan menjual minyak diesel bersubsidi ke pasaran gelap dengan harga lebih tinggi berjaya dipatahkan di sebuah stesen minyak di Ayer Tawar, di sini pada Khamis.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, pada 1 Februari sekitar 9 pagi, sepasukan pegawai dan penguat kuasa KPDN cawangan Manjung melaksanakan Op Tiris 3.0.

Katanya, operasi dan serbuan itu adalah hasil daripada maklumat orang awam selain risikan yang dijalankan selama dua minggi sekitar Ayer Tawar.

Jelasnya lagi, sebuah stesen minyak di kawasan tersebut turut dipercayai bersubahat dalam aktiviti penyelewengan sindiket tersebut.

“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori muatan 3 tan.

“Lori itu diubah suai dengan sambungan paip terus ke ‘square tank’ yang disembunyikan di atas lori.

“Pengisian dianggarkan sebanyak antara 500 hingga 1,000 liter sekali pengisian di stesen minyak tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kamalludin berkata, siasatan mendapati, pemandu kenderaan itu akan menjual minyak diesel ke pasaran gelap yang disyaki melibatkan beberapa syarikat di sekitar Pantai Remis pada

harga lebih tinggi.

Beliau berkata, minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap dengan harga RM3 hingga RM4 per liter mengikut harga pasaran minyak diesel industri.

“Semakan awal juga mendapati syarikat kepada kenderaan lori ini tidak mempunyai kebenaran atau permit sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk membeli minyak diesel dalam suatu kuantiti yang banyak.

“Hasil pemeriksaan turut menemui anggaran sebanyak 3,500 liter cecair disyaki minyak diesel di empat ‘square tank’ yang berada dalam lori.

“Cecair yang disyaki minyak diesel serta kenderaan lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pum, wayar hose dan lain-lain telah disita untuk tindakan selanjutnya.

“Seorang pemandu dan pengusaha stesen minyak warga tempatan masing-masing berumur 40-an dan 20-an ditahan untuk siasatan lanjut.

“Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM83,125,” katanya lagi.

Dalam pada itu katanya, stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuk syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah.

Sehubungan itu katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan

Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Foto: KPDN Perak