Sindiket ubah suai tangki treler seleweng diesel bersubsidi diserbu

Berita Perak

BAGAN DATUK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah premis di Simpang 4, Hutan Melintang, dekat sini, semalam, yang disyaki mengubah suai tangki treler untuk menyeleweng diesel bersubsidi.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 12.30 tengahari itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan pihaknya selama seminggu.

Menurutnya, melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan beberapa kepala lori trailer yang disyaki telah diubahsuai tangki asal dan membuat pembelian minyak diesel berulang kali di stesen minyak sekitar Hutan Melintang.

“Minyak diesel yang dibeli itu kemudiannya akan dipindahkan ke skidtank yang diletakkan di sebuah premis yang disyaki tidak berlesen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan, sindiket itu sedang memindahkan minyak dari tangki asal kenderaan ke sebuah skidtank menggunakan pam penyedut minyak.

Menurut Kamalludin, sindiket dipercayai menjual diesel kepada pengguna industri dengan mengambil keuntungan berlipat kali ganda.

Katanya, diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3.00 hingga RM4.00 per liter (mengikut harga pasaran minyak diesel industri).

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut telah menemui anggaran sebanyak 4,415 liter cecair yang disyaki minyak diesel di lokasi kejadian.

Tambahnya, cecair yang disyaki minyak diesel, lapan buah skidtank, peralatan pam penyedut, tiga buah lori trailer dan dua buah lori lima tan telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan lebih RM1 juta.

Menurutnya, dua lelaki tempatan berumur 50 dan 61 tahun yang disyaki pemandu dan pengurus premis telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, stesen minyak yang disyaki bersubahat juga akan disiasat dan diambil tindakan.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.