LARUT: Seorang lelaki patah kedua belah kaki, manakala dua lagi cedera apabila kanopi tempat mereka berteduh ditimpa sebatang pokok sawit yang tumbang di Jalan Kampung Sungai, Selama, di sini hari ini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kesemua mereka ketika itu sedang menghadiri majlis perkahwinan di kawasan berkenaan.
Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 1.44tengah hari tadi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama ke lokasi.
Sabarodzi berkata, terdapat tiga orang mangsa lelaki iaitu masing-masing berusia dalam lingkungan 20 dan 17 tahun.
“Tiga mangsa tersebut sedang berteduh di khemah itu disebabkan hujan dan disusuli ribut, seorang mangsa berusia 20 tahun patah kedua belah kaki. Manakala dua lagi cedera.
“Bomba memotong batang pokok yang menghempap salah seorang mangsa menggunakan gergaji berantai.
“Mangsa yang cedera parah kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Operasi tamat pada jam 2.48 petang.