Sentuh komuniti, lestari alam: TNB Genco, PKNPk laksana CSR di Hulu Perak

Berita Perak

GERIK: Sebanyak 50 keluarga asnaf di Kampung Bersia Lama di sini disantuni menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kerjasama strategik antara TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) semalam.

Menurut kenyataan PKNPk, program itu adalah sebahagian inisiatif memperkukuh pembangunan komuniti dan tenaga boleh diperbaharui di Hulu Perak.

Katanya, program yang dinamakan Lestari Komuniti Perak itu bukan sahaja menjanjikan limpahan manfaat kepada masyarakat sekitar kawasan Tasik Temenggor dan Chenderoh, malah menyokong agenda nasional ke arah tenaga bersih dan mampan.

“Inisiatif ini adalah susulan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNB Genco dan kerajaan negeri Perak pada tahun 2023 bagi meneroka potensi pembangunan loji Hibrid Hidro Solar Terapung (HHFS) di kawasan tadahanair dan tasik di Hulu Perak.

“Sistem HHFS ini menggabungkan teknologi hidroelektrik dan solar terapung, masing-masing berupaya menjana tenaga sehingga 400MW dan 70MW, sekaligus menyumbang kepada matlamat pelan hala tuju NETR (National Energy Transition Roadmap) untuk mencapai 70% tenaga boleh diperbaharui
menjelang tahun 2050,” kata kenyataan itu hari ini.

Lebih penting, ujarnya, pelaksanaan projek itu dijangka membuka peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat dan menggalakkan kelestarian alam sekitar melalui penyertaan aktif komuniti setempat.

Menurut, Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Ir. Muhamad Nazri Pazil, program itu bukan sekadar menyantuni komuniti, tetapi turut memperkukuh reputasi korporat dan hubungan bersama pihak berkepentingan.

“Kita percaya, apabila syarikat dan masyarakat bekerjasama, pembangunan sosioekonomi akan menjadi
lebih seimbang dan mampan,” katanya ketika berucap pada program itu.

Tambah beliau, inisiatif sedemikian menjadi pelantar kepada lebih banyak kerjasama dalam aspek tenaga hijau, pendidikan komuniti, dan pembangunan masyarakat luar bandar secara menyeluruh.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, Agenda Teknologi Hijau Perak Sejahtera 2030 adalah tonggak utama transisi negeri ke arah tenaga bersih.

“Negeri Perak berpotensi menjadi hab tenaga solar terapung yang menyumbang sehingga 5.2 gigawatt (GW) kepada grid nasional.

“Kerjasama ini adalah permulaan kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan sosial dan ekonomi di perkampungan Melayu dan Orang Asli sekitar Tasik Temenggor dan Chenderoh.

“Ia bukan sekadar projek sehari dua, tetapi komitmen jangka panjang untuk membina masyarakat yang inklusif, berdaya tahan dan harmoni dengan alam sekitar,” ujarnya.