Seminar pelancongan di Osaka sempena TMP2024

Berita Perak

IPOH: Tourism Perak telah mengadakan seminar pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024) semasa misi pelaburan Menteri Besar ke Jepun bermula 23 hingga 27 April ini.

Menurut kenyataan Tourism Perak, seminar itu bertujuan mempromosikan dengan lebih agresif sektor pelancongan ke pasaran baharu di negara Jepun selaras dengan kempen TMP2024.

Seminar dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Objektif pelaksanaan seminar ini adalah untuk meneroka pasaran baharu di Osaka yang mempunyai kepadatan penduduk sebanyak 19 juta orang dengan keistimewaan Perak yang kaya dengan produk eko-pelancongan, warisan dan budaya serta gastronomi,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, antara produk pelancongan yang berpotensi menarik minat pelancong Jepun adalah seperti Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Tasik Cermin, Royal Belum, Lenggong Geopark dan Kinta Geopark.

Menurut kenyataan itu lagi, seramai 70 peserta telah menghadiri seminar itu yang terdiri daripada pemain industri pelancongan dan media di Osaka, Jepun.

“Seminar mendapat kerjasama Tourism Malaysia Osaka yang telah membantu menyelaraskan keseluruhan program.

“Di dalam program ini juga, Tourism Perak telah melancarkan Perak Guide Book yang mengandungi 68 muka surat informasi berkenaan produk pelancongan negeri perak dan video rasmi TMP2024 berdurasi 4.43 minit dalam versi Bahasa Jepun,” ujarnya.

Katanya, bahan promosi itu akan diedarkan ke semua lokasi yang bersesuaian di sekitar Jepun seperti Pejabat Tourism Malaysia Osaka, MIDA Osaka, Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, hotel dan resort serta pejabat agensi pelancongan di sekitar Osaka, Jepun.

Dalam pada itu, ujarnya, Tourism Perak telah menjalinkan hubungan strategik bersama sebuah syarikat multinasional Jepun iaitu Canon yang merupakan pakar dalam bidang penghasilan barangan pengimejan dan optik bagi merancakkan lagi TMP 2024.

Tourism Perak berharap seminar seumpama itu dapat mencapai hasrat dan objektif seiring dengan sasaran kerajaan negeri untuk menarik 8 juta pelancong ke Perak sempena TMP2024.